SEMPORNA – Seorang lelaki berjaya dipujuk anggota bomba ketika cuba membunuh diri di sebuah menara pencawang telekomunikasi di Kampung Cina, Jalan Pekan Semporna hari ini.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an terbabit berjaya dibawa turun menggunakan tangga sebelum diserahkan kepada polis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 12.51 tengah hari.
“Sepasukan empat anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, mangsa dikesan masih berada di atas pencawang dipercayai cuba membunuh diri.
“Anggota bomba kemudian memanjat menara pencawang setinggi 30 meter itu untuk memujuk lelaki berkenaan dan dia turun sendiri menggunakan tangga,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.-K! ONLINE.