HULU SELANGOR – Seorang bapa berusia 72 tahun yang mengelar leher anak lelakinya sendiri dalam satu pertengkaran berhubung siaran televisyen didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini atas pertuduhan membunuh.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh S. Krisman,72, selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza yang bertindak sebagai Majistret.
Pengakuan tidak direkodkan memandangkan kes bunuh dibawa bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas anak lelakinya K. Apacnaidu, 37, di sebuah rumah di Jalan Kemudi, Taman Bernam Jaya, Ulu Bernam di sini antara pukul 11 pagi hingga 11.30 pagi pada 3 November 2021.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding hari ini pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Khadijah Amir Hamdzah manakala tertuduh diwakili peguam Dr. Vasu Appu.
Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 22 disember ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Kosmo! Online 4 November lalu melaporkan seorang lelaki bertindak di luar jangkaan apabila sanggup mengelar leher anaknya sendiri dalam satu pertengkaran berhubung siaran televisyen dalam kejadian di rumah mereka di Bernam Jaya, Hulu Bernam di sini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima satu laporan polis pada pukul 12.55 tengah hari daripada suspek yang memaklumkan telah menemui anaknya tidak sedarkan diri dalam keadaan terbaring berlumuran darah di ruang tamu.
Suspek mendakwa telah pergi ke kedai sebelum menemui anaknya yang berusia 37 tahun itu terbaring berlumuran darah dengan luka di leher dan darah keluar dari kepalanya apabila dia pulang ke rumah.
Hasil siasaran yang dilakukan pihak polis bagaimanapun mendapati leher mangsa terdapat kesan kelar yang dalam, bukannya tindakan bunuh diri namun dilakukan oleh pihak ketiga.
Menerusi siasatan lanjut yang dilakukan, suspek berusia 72 tahun itu kemudiannya mengaku telah bertengkar dengan anaknya selepas mangsa mengubah siaran televisyen yang sedang ditonton.
Sewaktu pertengkaran berlaku, suspek telah bertindak menolak mangsa ke dinding dan jatuh ke lantai sebelum dia seterusnya bertindak mengambil pisau di dapur dan berlaku pergelutan yang mengakibatkan mangsa ditoreh pada leher sebanyak tiga kali. – K! ONLINE