SEREMBAN – Kesukaran golongan orang kelainan upaya (OKU) mendapatkan pekerjaan mendorong Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Negeri Sembilan menganjurkan Karnival Kerjaya Inspirasi 2021 yang menawarkan sebanyak 450 peluang kerjaya.
Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Fuad Alias berkata, karnival tersebut buat julang kalinya diadakan dengan penglibatan 14 majikan termasuk dari sektor perhotelan, perkilangan, pasar raya serta restoran makanan segera.
“Karnival Kerjaya Inspirasi OKU 2021 ini pertama kali diadakan untuk memperkasa dan membantu golongan OKU bagi mendapatkan akses peluang pekerjaan, sekali gus meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan tempatan.
“Peserta yang hadir akan menjalani sesi temu duga secara terbuka dengan tawaran gaji di antara RM1,200 hingga RM3,500, sekiranya dipilih mereka akan dimaklumkan,” katanya dalam sidang akhbar pada Karnival Kerjaya Inspirasi OKU 2021 di Hotel Royale Chulan di sini hari ini.
Jelas Fuad, kita berharap majikan mengambil golongan OKU ini bekerja bagi membolehkan mereka mempunyai pandapatan sendiri sama seperti masyarakat normal yang lain.
“Selain tawaran kerja, Perkeso turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya dan latihan pekerja OKU dengan bayaran RM4,000 kepada penyedia latihan sekiranya diperlukan oleh pihak majikan.
“Berdasarkan statistik, terdapat sebanyak 2,000 OKU di negeri ini melibatkan masalah pembelajaran, bisu dan pekak, buta, hilang anggota badan, tidak boleh bergerak dan sebagainya,” katanya yang menerima maklum balas positif daripada majikan yang menggaji OKU.
Dalam pada itu, Fuad memberitahu, ada dalam kalangan ibu bapa OKU ini tidak mahu melepaskan anak istimewa untuk bekerja kerana difahamkan mereka menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan takut bantuan akan diputuskan.
“Jika boleh bekerja sendiri lebih baik daripada mengharapkan bantuan JKM melainkan anak istimewa itu betul-betul tidak mampu bekerja atau bergerak,” katanya lagi.
Beliau berkata, Perkeso berharap golongan OKU dapat memanfaatkan segala peluang di tawarkan di karnival tersebut bagi mencapai sasaran seramai 450 OKU berjaya mendapat kerja. – K! ONLINE