fbpx

Tiada projek lebuh raya nama SKE di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video berhubung SKE

SHAH ALAM – Kerajaan negeri bakal mengambil tindakan terhadap individu yang menularkan video mengenai pembinaan lebuh raya baru yang dinamakan Sungai Klang Ekspressway (SKE) yang didapati mengelirukan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, ini berikutan hasil semakan mendapati projek tersebut tiada dalam senarai kelulusan projek lebuh raya yang akan dilaksanakan di negeri ini.

Katanya, sebaliknya terdapat satu projek yang hampir sama melibatkan jajaran Sungai Klang bermula dari Klang hingga Kuala Lumpur iaitu Lebuh Raya Sungai Kelang LINK (SKL) yang hanya mendapat kelulusan dasar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 27 Januari lalu.

“Segala pelaksanaan projek penswastaan lebuh raya di negeri adalah tertakluk kepada kelulusan kerajaan pusat. Kerajaan negeri hanya memudahcara pelaksanaan projek supaya mematuhi peraturan sedia ada untuk memastikan projek berjalan tanpa memberikan masalah kepada rakyat.

“Kebimbangan saya terhadap video itu boleh mengelirukan masyarakat. Walaupun kerajaan negeri tidak luluskan namun projek dibuat di Selangor dengan ada logo pihak berkuasa tempatan (PBT) digunakan tanpa kebenaran seperti Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Subang Jaya dengan PBT sendiri tidak tahu mengenai projek tersebut,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Terdahulu tular sebuah video berdurasi 10 minit 10 saat yang dimuat naik sejak Sabtu lalu mengenai SKE dengan jarak lebuh raya itu sejauh 41.2 kilometer.

Jelas Izham, kerajaan tidak boleh mempunyai dua lebuh raya di jajaran Sungai Klang dengan setakat ini SKL telah diluluskan secara dasar manakala SKE tiada.

“Malah enam projek lebuh raya di Selangor termasuk Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) 2.0, semuanya masih dalam peringkat perbincangan dan kelulusan dasar serta belum ada kelulusan penuh dari kerajaan pusat,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebarang cadangan projek penswastaan lebuh raya di Selangor perlu dicadangkan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ke Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

“Seterusnya akan dibawa ke JawatanKuasa Pemantauan Pelaksanaan Projek Lebuhraya dan Infrastruktur Selangor yang dipengerusikan saya sendiri dengan meneliti semua projek termasuk infra sebelum dibawa ke Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kemudiannya MMKN.

“Selepas kerajaan pusat beri kelulusan, pemaju kena patuhi peraturan kerajaan negeri antaranya Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), SIA ( Penilaian Impak Sosial) dan TIA ( Penilaian Impak Trafik). Kita juga mahu isu tanah diselesaikan dahulu bagi mengelak kes kelewatan seperti Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE),” jelasnya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI