fbpx

Selepas dua anak baru tahu ibu ayah tak pernah bernikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Seorang wanita terkedu apabila mengetahui ibu dan bapanya tidak pernah bernikah secara sah dan memalsukan sijil pernikahan.

Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, kisah itu terjadi ke atas seorang wanita yang masih muda dan telah berkahwin serta dikurniakan dengan dua orang cahaya mata.

“Asalnya, perkahwinannya bahagia namun bertukar duka setelah berlaku kejutan besar terhadap rahsia yang disimpan oleh ibunya. Ibu dan ayah ada pertelingkahan hingga duduk berasingan. Pertelingkahan mereka telah terdedah satu isu yang dia dan dua adik beradiknya yang lain tidak ketahui.

“Emaknya memberitahu kepadanya yang dia dan bapanya tidak pernah bernikah selama ini. Ayahnya telah memalsukan Sijil Nikah dan berpura-pura kononnya berkahwin secara kampung,” katanya.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila ayahnya telah menjadi wali kepada perkahwinannya.

“Akhirnya, kini rumahtangga dia retak kerana suaminya berasa marah dan tertipu dengan keadaan yang terjadi. Tambahan pula perkara ini terjadi setelah mereka telah ada dua orang anak. Itu belum kira dengan kakaknya yang terlebih dahulu kahwin sebelumnya.

“Dia tersangatlah buntu kerana suaminya menyuruhnya untuk failkan cerai. Namun, dia bingung apakah itu jalan sebenar?,” katanya.

Beliau berkata, disebabkan perkahwinan ibu dan ayahnya yang dijalankan secara ‘Nikah Kampung’ tersebut tidak didaftarkan, wanita itu boleh dianggap sebagai anak tak sah taraf.

Katanya sepatutnya, si ayah atau ibunya perlu membuat pengesahan nikah di Mahkamah Syariah untuk menentukan sama ada perkahwinannya sah atau tidak mengikut hukum syarak.

“Sekiranya pernikahan kampung atau kita sebut sebagai Nikah Sindiket ini sah ikut syarak, maka dia boleh dianggap sebagai anak sah taraf. Itupun kalau berlaku nikah dan disahkan oleh Mahkamah.

“Namun, jika tidak, wanita itu serta adik beradik yang lain, dikira sebagai anak tak sah taraf. Bagi status perkahwinannya pula, disebabkan dia adalah anak tak sah taraf, maka sepatutnya perkahwinannya perlu dilakukan dengan menggunakan Wali Hakim. Iaitu dia perlu membuat permohonan wali hakim di Mahkamah Syariah.

“Namun, disebabkan berlaku khilaf iaitu dia tidak mengetahui tentang status dirinya semasa berkahwin, maka pernikahannya sekarang dikira sebagai Nikah Fasid,” ujarnya.

Jelasnya, Nikah Fasid itu adalah nikah yang rosak disebabkan rukun atau syarat sah nikah itu tidak dipenuhi.

“Jadi, wanita itu perlu membuat Permohonan Faraq Nikah di Mahkamah Syariah. Suaminya tidak boleh menceraikan secara baik ataupun wanita itu sendiri memfailkan Fasakh,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI