PETALING JAYA – Perdana Kuala Lumpur City Centre mahu menjadi antara restoran terbaik yang menyajikan masakan tempatan dan antarabangsa melalui pembukaan restoran yang telah menjalani transformasi baharu iaitu 10Binjai.
Pengurus hotel tersebut, Zakaria Ismail berkata, menu yang dimasak menggunakan hanya bahan-bahan berkualiti, terbaik dan segar itu mendapat sedikit sentuhan moden yang bakal memenuhi cita rasa tetamu yang berkunjung.
Menurutnya, melalui sokongan daripada pasukan pekerja yang berpengalaman dan berdedikasi pastinya ia akan membawa pengalaman unik dan direka dengan sentuhan peribadi kepada semua tetamu di tengah-tengah bandar.
“Transformasi ini adalah sebahagian daripada pelan strategik jangka panjang dan kami telah melabur melalui pelbagai pemikir kritis ke dalam konsep dan reka bentuk restoran.
“Restoran 10Binjai pastinya akan menjadi destinasi pelancong tempatan dan global, yang menawarkan pengalaman masakan baharu dan moden kepada para tetamu.
“Perjalanan transformasi ini memberi kami peluang untuk menerokai ramuan, perisa, dan semangat inovatif yang menarik,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Zakaria menerangkan, 10Binjai turut menampilkan elemen songket yang menyerupai keunikan budaya Malaysia dan kain tenunan tangan yang mewah sebagai tujuan hiasan di restoran.
Premis tersebut boleh digunakan untuk penganjuran jamuan kecil hingga ke acara berskala besar.
Bilik majlis yang luas itu juga dilengkapi teres luaran dan taman dengan pemandangan panoramik bandar bakal menjadi satu keunikan buat pengunjung.