IPOH – Sekurang-kurangnya 50 buah rumah penduduk di Kampung Sumpitan dekat Lenggong dilanda banjir susulan hujan lebat, petang tadi.
Turut dilanda banjir adalah kawasan pekarangan Masjid Ubudiah Kampung Sumpitan.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak memberitahu, pemindahan penduduk sedang dijalankan di kawasan terjejas berikutan air naik sehingga 0.4 meter.
Menurutnya, anggota bomba dihantar ke lokasi pada pukul 6.10 petang tadi bagi melakukan pemantauan sebelum penduduk dipindahkan.
“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong telah menjalankan operasi memindahkan penduduk secara berperingkat.
“Sehingga pukul 8 malam hujan masih turun dan pemantauan masih dilakukan dengan dibantu pelbagai agensi lain,” ujar jurucakap tersebut.
Operasi diketuai Ketua BBP Lenggong, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Farizul Anuar Razali. -K! ONLINE