KOTA BHARU – Malang tidak berbau. Itu nasib seorang lelaki yang maut selepas dirempuh sebuah kereta akibat tidak menggunakan lintasan pejalan kaki di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu, Kubang Kerian di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 petang itu, mangsa, Tuan Othman Tuan Abdullah, 57, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan mendapati, sebuah kereta jenis Mercedes Benz dipandu seorang warga emas dari arah lampu isyarat Kubang Kerian ke Pasir Tumboh di sini.
Menurutnya, semasa pemandu itu tiba di hadapan sebuah kedai perabot, warga emas itu melihat mangsa secara tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan.
“Akibat jarak yang terlalu dekat ditambah pula keadaan cuaca gelap, warga emas itu tidak sempat menekan brek sebelum merempuh mangsa.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian telah dihantar ke Hospital Univerditi Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. -K! ONLINE