AKTRES Mira Rajput melahirkan rasa kecewa dan marah terhadap kualiti udara yang sangat tercemar di bandar kelahirannya di New Delhi, India.
Ujar isteri kepada pelakon Shahid Kapoor itu, dia sangat kecewa apabila berlaku pencemaran udara yang teruk di bandar tersebut disebabkan penduduk di sana membakar mercun dan bermain bunga api ketika sambutan perayaan Deepavali baru-baru ini.
“Keadaan udara di sini (New Delhi) sangat teruk! Saya tidak tahu bagaimana penduduk di sini boleh hidup dengan menghirup udara yang tercemar,” ujarnya.
Katanya lagi, melihat keadaan udara yang diliputi asap, Mira berpendapat New Delhi tidak sesuai untuk dijadikan kawasan tempat tinggal ekoran pencemaran udaranya yang teruk.
Justeru, pelakon berusia 27 tahun itu menggesa pihak berkuasa supaya campur tangan dengan mengharamkan pembakaran mercun, merokok dan aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran udara.
Terdahulu, Jumaat lalu bandar raya New Delhi mencatatkan bacaan indeks udara tercemar berada pada paras berbahaya iaitu 655 sekali gus diisytiharkan sebagai zon merah.