PERSEORANGAN lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia terpaksa akur apabila terlepas gelaran kejohanan badminton Terbuka Hylo di Jerman selepas tewas kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew pada perlawanan akhir malam kelmarin.
Pada aksi yang berlangsung di Saarlandhalle Saarbrucken itu, Zii Jia terpaksa menarik diri pada set ketiga ketika ketinggalan 12-17 selepas mengalami kecederaan belakang.
Walaupun tewas, pemain berusia 23 tahun itu sudah menampilkan aksi terbaik pada perlawanan tersebut apabila menang 21-19 di set pertama sebelum Kean Yew bangkit memenangi set kedua 21-13.
Ketua jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan menjelaskan, tiada apa yang perlu diperkatakan berhubung taktik serta strategi permainan memandangkan anak buahnya itu sudah melakukan segala-galanya pada perlawanan tersebut.
“Zii Jia sudah menampilkan aksi maksimum pada perlawanan akhir itu, jadi tidak ada apa yang perlu diulas mengenai permainannya. Bagi saya, Zii Jia sudah penat dari segi mental.
“Mungkin ini pengalaman baharu buat dirinya dan sekarang ia bergantung pada Zii Jia bagaimana untuk dia menyesuaikan diri selain berdepan dengan masalah keletihan yang dialami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berhubung kecederaan yang dialami pemain No. 8 dunia itu, Hendrawan menegaskan, Zii Jia perlu mendapatkan rehat secukupnya selain memberi bayangan untuk menarik diri daripada kejohanan Indonesia Masters di Bali minggu depan.
“Masih ada masa beberapa hari untuk dia berehat sebelum kita buat keputusan mengenai kejohanan akan datang. Sekiranya belum pulih, mungkin kita akan tarik diri daripada Indonesia Masters,” ujarnya.