PETALING JAYA – Pelakon Adam Corrie mendedahkan, dia pernah ditegur kerana masih menggunakan penyepit makanan atau ‘chopstick’ ketika makan meskipun sudah bergelar mualaf.
Hal ini kerana, ada segelintir masyarakat yang ‘cetek’ ilmu menganggap penggunaan ‘chopstick’ oleh orang beragama Islam adalah haram di sisi agama.
“Ambil yang positif. Hidup berbilang kaum. Makan guna ‘chopstick’ tak haram ya. Sebab dulu pernah kena tegur, dah masuk Islam tak boleh pakai ‘chopstick’. Haram katanya,” katanya dalam satu perkongsian Instagram.
Adam turut memuat naik petikan Surah Hujurat ayat 13 yang berbunyi: “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.”
Jelas pelakon berusia 52 tahun itu, kaedah menggunakan penyepit makanan memang budaya yang diamalkan orang Cina.
Malah pemilik nama lengkap Adam Corrie Lee Abdullah itu juga turut menjelaskan cara penggunaan penyepit makanan dengan betul ketika menjamah nasi yang disediakan di dalam mangkuk.
“Memang begini cara orang Cina lelaki seperti saya makan nasi dalam mangkuk. Rapatkan mangkuk ke mulut, tolak nasi, lauk dan sebagainya guna ‘chopstick’ laju-laju supaya nasi tak tumpah. Bukan sebab gelojoh.Bezakan antara budaya dan agama.
“Kalau nasi dalam pinggan, saya guna tangan sahaja untuk makan. Sebab makan di restoran Cina Muslim, dah siap bagi nasi kukus ayam halia dalam mangkuk. Apa lagi, makan pakai ‘chopstick’ lah, budaya bangsa sendiri,” katanya.
Sekadar info, pelakon yang terkenal dengan watak antagonis itu memeluk Islam 14 tahun lalu iaitu pada 13 Julai 2007 ketika berusia 39 tahun.
Sehingga kini, Adam yang pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Selangor pada 2017 sudah mengislamkan seramai 20 orang saudara baharu. – K! ONLINE