PETALING JAYA – Selepas sambutan luar jangkaan diterima filem seram komedi Khaenak 1 dan 2 yang ditayangkan menerusi saluran YouTube tahun lalu, penerbit naskhah berkenaan tampil dengan buah tangan ketiga untuk tontonan peminat.
Penerbit KCTV Network dan Broadcasting Sdn. Bhd. menyajikan Khaenak: Serangan Pocong yang menjanjikan jalan cerita lebih menghiburkan dengan garapan kreatif serta menarik.
Pengarahnya, Emma Kasmuri berkata, berbeza dengan dua buah filem terdahulu, Khaenak: Serangan Pocong akan ditayangkan menerusi saluran Astro First.
“Kalau diikutkan, judul filem ini adalah Khaenak 3. Tetapi apabila kami kemukakan kepada Astro First, tak sangka mereka berminat.
“Kemudian kami gantikan angka tiga dengan menggunakan judul Khaenak: Serangan Pocong. Ini merupakan karya sulung kami yang akan ditayangkan menerusi Astro First,” katanya.
Sebelum ini, Khaenak dikenali dengan watak utamanya iaitu hantu pontianak yang digelar Meknak.
Tetapi dalam edisi terbaharu kali ini, Khaenak membawa kelainan dengan menampilkan watak hantu pocong bagi menggantikan hantu golek yang sinonim dengan emas iaitu perhiasan yang menjadi kegilaan wanita Kelantan khususnya.
Filem berkenaan menyorot kisah sebuah kampung di pinggir bandar yang menyaksikan banyak kejadian mistik berlaku di situ.
Bagaimanapun, semua kejadian tersebut berjaya diselesaikan dengan kesepakatan penduduk kampung yang dipimpin oleh Tok Penghulu.
Seorang komposer terkenal dari Kuala Lumpur iaitu Apak datang bercuti ke situ bersama isterinya, Yana untuk mencari ilham menghasilkan lagu baharu.
Yana yang diperli Mek Som dan Cik Ani mula memujuk suaminya untuk membeli barangan kemas sebelum tiba-tiba berlakunya beberapa kejadian seram antaranya ada penduduk diganggu kehadiran pocong.
Ketika ditanya adakah penggambaran filem tersebut diganggu dengan sebarang kejadian mistik, Emma berkata, pelakon utamanya iaitu Apak pernah diganggu sesuatu.
“Sewaktu menjayakan babak menunggu pocong atas motor, Apak terasa seolah-olah ada yang menarik kakinya,” katanya.
Sementara itu ketika mengulas tentang kos penerbitan, pengarah itu berkata, awalnya pembikinan filem tersebut hanya menelan bajet sebanyak RM50,000.
Bagaimanapun, selepas diluluskan untuk tayangan Astro First, kos penerbitannya semakin meningkat.
“Kami perlu buat beberapa babak tambahan dan terpaksa mengubah sudut suntingan serta warna bersesuaian mengikut ‘quality control’ (QC) bagi memenuhi standard filem.
“Akhirnya, kos keseluruhan menelan belanja RM150,000 termasuk kos promosi dan iklan sekali gus menjadikan Khaenak dikategorikan sebagai filem indie dengan bajet rendah,” jelasnya.
Khaenak: Serangan Pocong masih mengekalkan pelakon asal dua buah filem terdahulu iaitu Apak Harry Khalifah, Diana Ezety, Kamarool Yusoff, Hushairi Husain, Along PM, Amin AR, Shan Jeevan, Ryezal Apak, Daddy Abila, Abe Mat Ngepek dan ramai lagi.
Filem tersebut akan ditayangkan di Astro First pada 11 November ini – K! ONLINE