TAMPIN – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tampin, Muhammad Hafez Hezmi disahkan meninggal dunia di kediamannya di Krubong, Melaka, pada usia 38 tahun dipercayai akibat serangan sakit jantung.
Perkara itu disahkan Ketua UMNO Bahagian Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.30 pagi di kediamannya.
Menurut Mohd Isam, berita kematian itu amat mengejutkan dan merupakan satu kehilangan besar kepada UMNO Bahagian Tampin kerana jasa serta pengorbanan Allahyarham amat bererti bagi UMNO Bahagian.
“Al-Fatihah buat Muhammad Hafez Hezmi. Semoga Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
“Ikutkan malam tadi sekitar pukul 10.45 malam, saya menghubungi Allahyarham untuk datang ke kedai makan di Simpang Ampat bagi berbincang bersama Jentera Umno Bahagian Tampin. Kami beredar setelah habis perbincangan pada pukul 12 tengah malam.
“Ikutkan, jasa Allahyarham tak terhitung. Allahyarham banyak berkorban wang ringgit untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan seperti makanan, katil hospital, kerusi roda dan lain-lain lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. -K! ONLINE