PUTRAJAYA – Keluhan penyokong bola sepak tempatan berhubung isu tidak boleh makan dan minum di stadium akhirnya mendapat perhatian serius Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memaklumkan ada berita baik mengenai perkara itu dan satu pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat.
Ahmad Faizal berkata, beliau mendengar banyak keluhan mengenai perkara itu khususnya daripada penyokong tegar bola sepak tempatan.
“Saya sendiri telah berhubung dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan menyampaikan keluhan itu. Beliau mendengar keluhan itu dan Insya-Allah, berita baik mengenainya akan diumumkan tidak lama lagi.
“Ia tentunya berita baik buat penyokong bola sepak yang hadir ke stadium,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi (OACP), KBS di sini hari ini.
Katanya, berita baik itu akan diumumkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat. -K! ONLINE