SETIAP kali berlangsungnya sesuatu pameran seni, antaalgia masa kecil di kampung melalui lukisanra individu yang paling mendapat perhatian sudah tentulah orang yang menghasilkan setiap karya tersebut.
Itulah yang berlaku dalam setiap pameran lukisan karya pelukis tempatan, Mass Yusoff sejak lebih 40 tahun lalu apabila dia turut menjadi tumpuan pengunjung untuk berkongsi pendapat dan pandangan, selain dia sendiri akan menceritakan kisah di sebalik setiap karya dipamerkan.
Bagaimanapun, sedikit kelainan terjadi pada pameran seni lukisan miliknya yang berlangsung di GMBB, Kuala Lumpur baru-baru ini apabila tiada kelibatnya di sepanjang majlis pelancaran pada 23 Oktober lalu.
Malah, majlis perasmian pameran lukisan itu berlangsung dalam suasana cukup sayu apabila ia diadakan bagi memenuhi hasrat terakhir Mass Yusoff atau nama sebenarnya, Mohd. Yusof Ab. Wahid untuk mengadakan pameran secara solo selepas beliau menghembuskan nafas terakhir pada 23 Julai lalu akibat pelbagai komplikasi kesihatan setelah dijangkiti wabak Covid-19.
Menurut anak sulung beliau, Nur Firdaus Mohd. Yusof, pameran lukisan itu pada awalnya dirancang untuk diadakan pada September 2021.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk penganjur bersama, Muzium Seni Buku Bergambar, akhirnya pihak keluarga bersetuju untuk meneruskan pameran ini sebagai mengenang hasil karya Mass Yusoff yang selama ini sangat dekat dengan kami.
“Ayah saya mahu lukisannya dapat diakses oleh seberapa banyak orang. Dia menjual sebahagian daripadanya dengan harga hanya beberapa ratus ringgit sahaja, bahkan kerap memberikannya kepada ramai individu sebagai hadiah. Dia seorang yang pemurah,” katanya dalam nada sebak.
Pameran berjudul ‘Mengenang Mass Yusoff, Malaysiaku Indah’ yang berlangsung sejak 15 Oktober hingga 7 November lalu itu mempamerkan lebih 100 karya seni Mass Yusoff dan sebahagian daripadanya merupakan lukisan cat air dan akrilik yang dipersembahkan di atas kanvas.
Turut dipamerkan adalah sebahagian besar karya terakhir Mass Yusoff berupa lukisan menggambarkan motosikal dan kereta yang menjadi antara minat beliau sebelum meninggal dunia.
Dalam pada itu, isteri Mass Yusoff, Zabedah Koming, 61, berkata, kesemua karya yang dipamerkan di situ merupakan gambaran nostalgia arwah suaminya mengenai kehidupan ketika zaman kanak-kanak, selain suasana kehidupan di kampung.
“Selepas bersara daripada syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, arwah mula melukis secara sepenuh masa. Saya kerap menemaninya untuk mencari ilham merata tempat termasuk kerap ke Banting, Selangor untuk mengambil gambar pemandangan dan suasana alam semula jadi sebelum melukis.
“Dia sangat cintakan dunia lukisan dan sebab itulah, selepas ketiadaannya, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk meneruskan hasrat arwah untuk mengadakan pameran. Kami cuba merealisasikan impiannya untuk terus mempamerkan hasil karyanya dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan ketika merasmikan pameran lukisan tersebut mengakui, setiap karya seni yang dihasilkan arwah menggamit nostalgia silam dirinya sebagai individu yang dilahir dan membesar di kampung.
Beliau juga mengakui pernah melalui setiap detik dan kenangan yang digambarkan oleh Mass Yusoff menerusi lukisannya itu.
“Setiap hasil seni merupakan sebuah karya yang mewakili suara dan rasa mendalam. Saya percaya, setiap lukisan yang dihasilkan ini adalah cerminan kehidupan yang pernah dilaluinya suatu masa lalu.
“Lukisan ini menjadi media untuk orang muda kenal asal-usul warisan bangsa. Seharusnya golongan muda masa kini terutama yang dilahirkan dan membesar di bandar menghargai usaha golongan artis dan seni tanah air yang bertungkus-lumus menggambarkan warisan bangsa kita menerusi karya-karya mereka,” katanya.
Pengarah Muzium Seni Buku Bergambar, Linda Tan Lingard berkata, pameran itu merupakan ungkapan rasa cinta seorang isteri dan anak kepada sang ayah yang juga seorang artis seni yang mencurahkan sebahagian besar hidupnya untuk berkarya.