JEMPOL – Seekor harimau kumbang betina masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di Kampung Bayai Baru, Batu Kikir di sini pada 30 Oktober lalu.
Pengarah Perhilitan negeri, Nurul Ermi Ramli berkata, perangkap itu dipasang pada 28 Oktober lalu, hari yang sama selepas penduduk membuat aduan mengenai kehadiran haiwan tersebut yang berkeliaran di kampung berkenaan.
Menurutnya, harimau kumbang seberat 40 kilogram (kg) itu masuk ke dalam perangkap yang dipasang di lokasi tersebut dua hari kemudian.
“Harimau ini kemudian dipindahkan sementara ke Jabatan Perhilitan Jempol untuk pemeriksaan dan rawatan oleh pegawai sebelum dilepaskan ke habitat yang sesuai,” katanya hari ini.
Nurul Ermi berkata, harimau kumbang itu dipercayai bukan haiwan sama seperti dilihat penduduk Kampung Batu Condong, Juasseh Tengah, Kuala Pilah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan salakan anjing yang dipelihara bagi menjaga kebun dan ternakan membawa petanda kehadiran dua ekor harimau kumbang di sebuah kediaman di Kampung Batu Condong, Juasseh Tengah, Kuala Pilah pada 2 Oktober lalu. -K! ONLINE