Oleh LIYANA RAMLI
BATU GAJAH- Harga ikan siakap siap dimasak di Pulau Pangkor masih berpatutan, mampu dimakan dan tidak mencecah ribuan ringgit sehingga menimbulkan rasa gentar kepada pengunjung.
Justeru, pengunjung yang datang ke pulau peranginan ini tidak perlu bimbang untuk makan dan berbelanja kerana tidak akan dikenakan harga sebegitu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, harga ikan siakap di pulau bebas cukai itu masih relevan dan berpatutan.
“Harga ikan siakap di Pangkor tidaklah mahal seperti siakap di Langkawi sepertimana tular dan dilaporkan media baru-baru ini, harganya masih dalam kawalan.
“Harganya tidak lah mencecah ribuan ringgit, ikan siakap di sana masih dijual mengikut kesesuaian harga di Pangkor sebagai destinasi tarikan pelancong,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika Program Jelajah Integriti Pelancongan (JIPS) Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2021 di Tapak Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5), di sini,hari ini. -K! ONLINE