PORTIMAO – Pelumba Australia, Remy Gardner selangkah untuk menjulang kejuaraan dunia Moto2 selepas berjaya meraih kemenangan di Grand Prix (GP) Algarve malam kelmarin.
Tambahan 25 mata memastikan pelumba Red Bull KTM Ajo kini memacu carta kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dengan 350 mata.
Keadaan tersebut pasti melegakan Gardner ketika perlumbaan hanya berbaki satu pusingan dan meninggalkan Raul Fernandez di tangga kedua dengan perbezaan 23 mata.
Sementara itu, Marco Bezzecchi (SKY Racing Team VR46) berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 214 dan Sam Lowes (ELF Marc VDS Racing Team) tangga keempat dengan 181 mata.
“Bagi saya ia satu perlumbaan sukar dan terbaik saya lalui musim ini. Lebih-lebih lagi dengan tekanan ekoran perebutan gelaran dunia Moto2.
“Saya menggunakan tayar keras dan sedikit sukar pada awal pusingan perlumbaan. Namun, pada pertengahan perlumbaan ia membantu saya untuk memecut lebih laju.
“Pada saingan tersebut, tulang rusuk saya mula terasa sakit dan sukar untuk mengawal jentera dengan baik. Saya tidak tahu bagaimana saya mampu menamatkan saingan itu,” katanya.
Sebagai rekod, pelumba berusia 23 tahun itu telah menaiki podium sebanyak 12 kali dengan lima kemenangan.
Hasil yang cemerlang tersebut, anak kepada bekas juara dunia 500cc, Wayne Gardner, dinaikkan pangkat ke perlumbaan kelas perdana MotoGP musim depan bersama pasukan Tech3 KTM nanti. – AGENSI