TAMPIN – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkongsikan kisahnya yang disahkan positif Covid-19 kira-kira 15 hari lalu dan sehingga kini masih kehilangan deria baunya.
Ahmad Marzuk berkata, dia tidak menyangkakan akan positif Covid-19 setelah mendapat jangkitan daripada pemandunya yang mempunyai gejala tidak sihat serta suara bertukar garau.
Menurutnya, dua hari selepas itu, beliau merasakan badannya lemau dan segera menjalani ujian calitan serta disahkan positif Covid-19.
“Oleh kerana saya ini obesiti, saya kena masuk hospital. Hari pertama hingga hari keempat saya merasakan sakit luar biasa terutamanya di bahagian dada yang rasa seperti nak pecah bila batuk atau bersin.
“Selepas pemeriksaan terdapat darah dalam kuman, saya diberi ubat antivirus… sembilan biji sekali makan setiap lapan jam sekali. Selepas itu baru lega. Saya baru keluar hospital Sabtu lalu dan sehingga kini deria bau saya masih tiada,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Klinik Rohani di PKRC 2021 di Dewan Alamanda Hospital Tampin, di sini hari ini. -K! ONLINE