PETALING JAYA – “Tolonglah kalian semua, Bunga tiada kena-mengena langsung dalam hal ini.”
Itu penegasan daripada penyanyi dan pelakon, Shalma Eliana apabila rakan seperjuangannya yang juga penyanyi, Bunga Is Me dituduh sebagai orang ketiga menyebabkan putusnya hubungan cinta antara dirinya dan Ismail Izzani.
Shalma atau nama lengkapnya, Shalma Eliana Bruhanutheen, 21, mengharapkan orang ramai agar berhenti membuat spekulasi dan mengaitkan wanita itu dalam kancah percintaannya yang sudahpun berakhir.
“Hentikan semua ini. Maaf bunga, sayang awak (beserta emoji hati),” kata pelantun lagu Rambang itu menerusi satu entri dalam InstaStory.
Dalam pada itu, menerusi sesi soal jawab (Q&A) InstaStory, Shalma mendedahkan, dia tidak suka membazir andai dicurangi banyak kali oleh lelaki.
“Bagi saya, saya masih mampu beri peluang kepada seseorang tapi kalau (kecurangan) itu berlaku lebih daripada sekali, ‘I gerak lu paper roger je’,” kata Shalma.
Menitipkan pesanan kepada seorang peminat agar tidak dipermainkan orang sama dalam soal percintaan, kata Shalma: “Saya yakin, Tuhan akan kurniakan anda orang yang terbaik dalam kalangan yang terbaik.
“Sayangi keluarga, kawan-kawan dan saya (tertawa). Sebarkan benda-benda baik dan berkasih sayang selalu.”
Hujung Oktober lalu, Bunga mendedahkan kepada media bahawa dia terkilan sehingga mengalirkan air mata apabila dituduh netizen sebagai punca retaknya hubungan cinta antara Shalma dan Ismail.
Tidak cukup dengan itu, teman lelaki Bunga iaitu Amzar Sabri yang turut berkecimpung dalam dunia seni suara tampil menegaskan bahawa kekasihnya itu tiada hubungan cinta langsung dengan Ismail. – K! ONLINE