fbpx

Bukan insiden pertama, mangsa konsert Travis Scott 2017 buka mulut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KYLE GREEN (kanan) menyelar sikap Travis Scott yang tidak belajar daripada kesilapan lalu terutama soal keselamatan penonton semasa penganjuran konsert.

TRAGEDI konsert Travis Scott di Festival Astroworld minggu lalu menggembalikan igauan ngeri seorang pemuda berusia 27 tahun, Kyle Green, yang lumpuh selepas ditolak dan terjatuh  semasa menyaksikan persembahan mega penyanyi itu, empat tahun lalu.

Green yang ketika itu mengalami cedera parah termasuk patah tulang belakang marah apabila insiden masa lalu tidak menjadi pengajaran kepada penghibur rap tersebut sehingga berulang kembali, malah lebih teruk membabitkan kematian.

Dalam kejadian di New York, Amerika Syarkat pada 2017, dia mendakwa terjatuh dari tingkat tiga tempat duduk selepas dirempuh penonton lain namun petugas konsert terus mengangkatnya tanpa menggunakan sebarang alat bantuan kecemasan seperti penyangga leher.

Apabila kemalangan serupa berulang di Texas, pemuda yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak memberikan respons menerusi peguamnya, Howard Hershenhorn.

“Dia kesal mendengar berita berkenaan insiden menyedihkan itu selain berkongsi perasaan hiba dengan keluarga mangsa yang maut dan cedera parah.

“Lebih menaikkan kemarahan kerana perkara itu boleh dielakkan jika Travis belajar daripada kesilapan lalu dan mengubah sikapnya daripada menghasut penonton berkelakuan secara melulu,” kata peguamnya.

Terdahulu, Green menfailkan saman terhadap beberapa pihak terutama, Scott, enam bulan selepas kejadian berlaku dan kesnya masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Manhattan.

Biarpun sudah boleh bergerak menggunakan alat bantuan, anak muda bersemangat tinggi terbabit tetap melalui kehidupan perit kerana mengalami kecacatan kekal lumpuh separuh badan.

Para Jumaat lalu seramai lapan penonton maut dengan korban termuda berusia 14 tahun manakala lebih 300 lagi cedera selepas berlaku insiden rempuhan membabitkan 50,000 penonton di Festival Astroworld yang dijayakan Travis Scott.

Tidak menunggu lama, beberapa mangsa dilaporkan sudah melantik peguam susulan insiden yang berlaku Texas itu dengan anggaran tuntutan saman membabitkan jutaan dollar.

Sehingga kini, baik Scott mahu pun Live Nation, masing-masing tidak memberi sebarang maklum balas berhubung saman berkenaan, sebaliknya mengumumkan sedia membiayai kos pengebumian mangsa yang terkorban, selain bekerjasama dengan BetterHelp bagi memberikan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa lain.

Pada masa sama, penganjur Astroworld turut mengembalikan wang kepada semua yang membeli tiket konsert pada Jumaat serta Sabtu yang telah dibatalkan.

Klip video kejadian terus bertebaran dalam laman sosial, sekali gus membuatkan satu dunia mengecam penyanyi kelahiran Houston itu yang didakwa lambat bertindak.

Kemarahan ramai semakin memuncak apabila beberapa kes mahkamah lama membabitkan konsert Scott dibongkar termasuk kes di Arkansas menyaksikan penyanyi itu mengaku bersalah atas dakwaan menggalakkan penonton meluru ke pentas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI