PETALING JAYA – Seorang lagi individu tampil ke hadapan berhubung isu ‘dianiaya’ oleh restoran yang menjual hidangan seekor ikan siakap ‘kayangan’ di Langkawi.
Menerusi satu hantaran di Facebook Rohani Osman berkata, dia memesan ikan siakap masak tiga rasa, udang masak pedas dan sebagainya.
Katanya dia sedia maklum makan di sebuah restoran terapung pastinya mahal dan menganggarkan nilai yang perlu dibayar sekitar RM600 hingga RM700.
“Namun, apa yang mengekutkan, apabila sampai sahaja bil, kami perlu membayar sebanyak RM1660.
“Bukan tidak mampu untuk membayarnya tetapi terasa seperti dianiaya,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, dia tidak dimaklumkan oleh peniaga premis tersebut berat ikan siakap yang diberikan sehinggalah ditunjukkan dalam resit yang diberikan.
“Kami diberikan ikan siakap seberat 4.98 kilogram (kg). Ramai yang terkena sebab peniaga tidak maklum dan tunjukkan dahulu ikan kepada pelanggan.
“Saya akan jadikan ini sebagai satu pengajaran, sebagai pelanggan yang bijak, tanya betul-betul harga dan timbang dahulu di hadapan mata,” ujarnya.
Difahamkan, restoran yang dikunjungi Rohani merupakan restoran yang sama tular di media sosial mengenakan caj yang tinggi kepada pelanggannya.
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial mendedahkan terpaksa membayar lebih RM1,196 bagi menikmati hidangan ikan siakap seberat 7 kg di restoran sama. -K! ONLINE