PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia memberi jaminan bahawa isu status pekerja gig di negara ini dari segi kawal selia aspek perundangan masih diteliti dengan pelbagai pihak.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, setakat ini nasib golongan terbabit belum lagi berada di bawah kawalan Akta Kerja 1955 yang hanya tertakluk kepada pekerja bergaji tetap.
“Justeru, pihak kementerian akan meneliti keperluan penggubalan perundangan khusus bagi mengawal selia dan melindungi kebajikan pekerja gig,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Isu itu timbul diperkatakan warganet melalui wadah media sosial malah dibawa ketika sesi soal jawab di Parlimen susulan perkembangan terkini hasil keputusan Mahkamah Agung di Britain.
Hakim di negara itu menyatakan bahawa petugas ekonomi gig sebagai layak menerima hak pekerja dalam penghakiman akhir April lalu terhadap kes firma aplikasi Uber BV lawan Aslam. -K! ONLINE