KULAI – Tiga remaja perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur berjaya diselamatkan hasil serbuan yang dilakukan di sebuah premis kecantikan di Jalan Air Hitam, Batu 21, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, kesemua remaja tempatan yang diselamatkan itu berusia lingkungan 13 hingga 15 tahun.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menjalankan serbuan dan pemeriksaan Op Noda pada pukul 2.40 petang.
“Setibanya di lokasi, polis membuat pemeriksaan dan menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun disyaki terbabit dalam kegiatan persundalan.
“Dalam serbuan itu, polis turut berjaya menyelamatkan remaja perempuan berusia 13 hingga 15 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks bawah umur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas tiga unit telefon bimbit, sehelai tuala, segulung tisu, satu paket kondom dan wang tunai berjumlah RM534.
Katanya, kesemua suspek dan mangsa yang diselamatkan dibawa ke IPD Kulai untuk tindakan selanjutnya. -K! ONLINE