fbpx

2,900 hektar sawah jadi lautan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kampung membawa bot sambil bersiar-siar di dalam petak sawah padi yang ditenggelami air akibat bencana banjir di Kampung Kandai, Mukim Tajar, Kota Setar baru-baru ini. ­– SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mendakwa lebih 2,900 hektar sawah dalam kawasan MADA di negeri ini ditenggelami banjir sejak dua minggu lalu.

Pengerusinya, Che Ani Mat Zain berkata, kejadian itu berpunca daripada bencana banjir dan fenomena air pasang besar di beberapa daerah di negeri ini.

Katanya, keadaan tersebut mengundang keresahan dalam kalangan petani yang bimbang anak pokok padi mungkin rosak kerana ditenggelami air dalam tempoh masa yang lama.

“Biasanya padi yang diteng­gelami air boleh bertahan antara 10 hingga 15 hari. Jika air tidak surut dalam tempoh tersebut, anak pokok padi akan rosak.

“Bagaimanapun, dalam ke­ada­an sekarang, kami meng­­ang­garkan ada kemungkinan lebih 60 peratus akan rosak. Keadaan itu sudah tentu mendatangkan kerugian kepada petani,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tinjauan mendapati kebanyakan sawah terlibat ditenggelami banjir antara 0.5 meter hingga satu meter.

Menurutnya, bencana banjir akibat hujan lebat serta feno­mena air pasang besar itu diburukkan lagi dengan sistem peng­airan yang tidak sempurna di beberapa kawasan.

“Demi menjaga kepentingan dan kebajikan petani, MADA perlu segera membuat bancian ter­hadap keluasan sawah yang rosak serta jumlah petani terlibat.

“Pihak kerajaan khasnya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pula perlu segera mengeluarkan dana untuk memberi bantuan kepada petani,” ujarnya.

Buat masa sekarang kata beliau, pihaknya menganggarkan kalangan petani mengalami kerugian kira-kira RM150 serelung (0.29 hektar) setelah mengeluarkan belanja untuk mendapatkan benih padi, racun dan mengupah kerja-kerja menabur dan meracun.

Tambahnya, MADA juga diminta segera mengenal pasti infrastruktur yang mungkin rosak berikutan kejadian banjir serta fenomena air pasang besar.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI