fbpx

14 balai bomba, dua pusat MERS ditambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reezal Merican dipakaikan pangkat oleh Mohammad Hamdan pada Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM di Putrajaya di sini, hari ini. /FOTO FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kira-kira 14 balai bomba dan penyelamat serta dua pusat Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) ditambah di seluruh negara dalam memastikan penyampaian perkhidmatan lebih efisien kepada rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pertambahan balai bomba dan pusat MERS tersebut susulan peningkatan jumlah populasi selain kadar perbandaran meningkat hampir 80 peratus.

Menurutnya, langkah tersebut juga adalah usaha untuk menurunkan kadar waktu respon daripada 10 minit kepada lapan minit seperti di negara-negara maju termasuk Singapura.

“Ada tempat-tempat yang setelah dibuat analisis, memang sudah ada keperluan 14 balai bomba tersebut. Kita memamg memahami keadaan fisikal dan cabaran dihadapi negara.

“Ini soal nyawa dan soal bagaimana kita boleh respon sesuatu bencana, kemalangan dan kebakaran yang boleh menyebabkan kehilangan nyawa. Kalau kita nak jadi negara maju, apa yang perlu dilakukan ialah untuk meningkatkan keupayaan dan kapasiti bomba melalui pembinaan balai-balai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Pangkat Kehormat JBPM kepadanya serta turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Bagi tujuan itu, Reezal berkata, pihaknya akan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed esok bagi membincangkan perkara tersebut.

Mengenai pusat MERS, katanya, pada masa ini terdapat tiga pusat MERS iaitu di Kuala Lumpur, Melaka dan Sarawak sekali gus perlu ditambah dua lagi pusat itu di negeri Sabah dan Pantai Timur. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI