GEORGE TOWN – Sebanyak 13 buah motosikal dilaporkan musnah terbakar dalam kejadian kebakaran di Flat Desa Mawar, Ayer Itam di sini awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu dikatakan berlaku di kawasan letak kenderaan flat berkenaan ketika kebanyakan penghuninya sedang nyenyak tidur.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.12 pagi sebelum tiba kurang 10 minit ke lokasi kejadian.
“Apabila bomba tiba, didapati benar berlaku kebakaran melibatkan 13 buah motosikal.
“Kebakaran itu berlaku di kawasan parkir kenderaan yang mengakibatkan motosikal berkenaan terbakar hampir keseluruhannya,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, operasi membabitkan tujuh anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong itu berjaya memadamkan kebakaran pada pukul 4.32 pagi sebelum operasi itu ditamatkan pukul 4.46 pagi.
Menurut jurucakap itu lagi, tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut. – K! ONLINE