MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer percaya beliau masih mampu untuk membantu skuad kendaliannya itu untuk saingan musim ini biarpun mencatat kekalahan keempat dalam enam perlawanan Liga Perdana Inggeris.
Kelmarin, United tewas 0-2 di laman sendiri berdepan seteru setempat, Manchester City menyebabkan mereka kini ketinggalan 11 mata berbanding pendahulu, Chelsea sebelum cuti rehat untuk aksi antarabangsa.
United tewas dua aksi di Old Trafford berturut-turut dengan gawang mereka dibolosi sebanyak tujuh kali menentang Liverpool dan City tanpa berjaya meledak sebarang gol menyaksikan masa depan Solskjaer menjadi pertaruhan.
Para peminat United juga dilihat sudah hilang sabar apabila mula mencemuh Solskjaer dan mahu pengurus dari Norway itu segera dipecat.
Bagaimanapun, Solskjaer mengakui masih mampu untuk menyelamatkan United musim ini dan membawa pasukan itu kembali ke prestasi terbaik mereka.
“Sudah tentu. Benar apa yang anda katakan itu. Pada saya, ia adalah bagaimana kami perlu kembali ke tempat kami bermula sebelum ini. Kami hanya berdepan situasi ini sejak tiga atau empat minggu lalu.
“Keputusan dan aksi ketika menentang Tottenham Hotspur sangat baik tetapi ia bukanlah sekadar itu. Kami mahu prestasi itu kekal dan bermain lebih agresif. Kami berjaya memberikan aksi terbaik berdepan Spurs dan Atalanta tetapi kali ini kami gagal mengulanginya,” katanya.
Dalam pada itu, Solskjaer yakin bahawa beliau masih mendapat kepercayaan daripada pengurus kelab untuk terus mengemudi pasukan itu.
“Saya mempunyai komunikasi yang baik dengan pihak pengurus kelab setiap masa, ia adalah hubungan yang benar dan jujur. Saya bekerja untuk United dan sentiasa mahu berikan yang terbaik untuk kelab ini. Selagi saya berada di sini, saya akan terus membantu United,” jelasnya.
– AGENSI