fbpx

Sihir bukan naskhah seram tipikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELAIN Kamal dan Hun, penyanyi dan pelakon Zarul Umbrella (tengah) turut menghiasi jalan cerita Sihir membawakan watak Ustaz Ayob.

SEDARI dahulu, sihir atau ilmu hitam sering menjadi amalan masyarakat dunia. Dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini, sihir tetap wujud walaupun dikutuk dan sangat bertentangan dengan ajaran Islam kerana menyekutukan Allah sama ada secara lisan, pegangan atau perbuatan.

Meskipun amalan syirik tersebut seperti sudah menjadi barah dan sukar ‘disembuhkan’, namun ruang untuk memberi kesedaran tentang sihir sentiasa terbuka luas.

Atas usaha memberi didikan dan pengajaran terhadap penonton, Astro mempersembahkan sebuah karya baharu berjudul Sihir yang sudah pun menemui penonton bermula 1 November lalu.

Karya 20 episod terbitan Juita Viden Sdn. Bhd. tersebut menampilkan dua tonggak utamanya iaitu pelakon Kamal Adli dan Hun Haqeem.

Sihir menyorot tentang adik-beradik kembar, Nuh lakonan Kamal yang berkebolehan melihat masa depan menerusi mimpi, sementara Hud (Hun) pula dibuka hijab sehingga membolehkan dia melihat perkara ghaib dan mistik.

Selain Kamal dan Hun, drama yang mendapat arahan pengarah Michael Ang dan Azmir Effendi tersebut turut dibintangi Zarul Umbrella, Sharifah Shahora, Farah Ahmad, Zaryn Myn, Wan Ellyas, Mak Wan Latah dan Fiza Thomas.

Menurut Michael, Sihir menjanjikan kelainan dan tidak klise seperti kebanyakan cerita seram lain yang selalu menggambarkan kemunculan hantu berwajah hodoh atau berbaju putih panjang.

“Menerusi Sihir, kami mencuba kelainan dengan bajet yang diperuntukkan Astro. Jalan ceritanya dinaik taraf berbanding cerita hantu tipikal tempatan tapi tidaklah sampai standard Hollywood atau Korea Selatan,” ujarnya ketika temu bual menerusi maya baru-baru ini.

Bukan sekadar seram

Tambah pengarah itu lagi, proses penghasilan skrip Sihir sudah lama dibangunkannya iaitu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua.

“Ketika itu, saya sudah buat skrip dan senaraikan jenis-jenis sihir yang nak ditunjukkan kepada penonton. Sebab kita tahu, dalam masyarakat kita ada bermacam jenis sihir. Jadi dari situ, sedikit sebanyak dapat beri pengetahuan kepada penonton.

“Lebih menarik, drama ini tidak memberi fokus terhadap sihir atau ilmu hitam yang diamalkan oleh masyarakat Melayu semata-mata. Bahkan ada juga dipaparkan jenis amalan ilmu hitam orang Cina dan lain-lain,” ujar Michael.

Sementara itu, kata Kamal, Sihir bukan sekadar sebuah karya seram tipikal yang menceritakan tentang hantu tetapi lebih daripada itu.

“Bagusnya tentang cerita ini, kami sebagai pelakon dapat belajar pelbagai jenis sihir yang ada dalam masyarakat, bahkan ada antaranya yang kami tak tahu pun.

“Mungkin sebelum ini tak ambil tahu, pengalaman berlakon dalam cerita ini sedikit sebanyak boleh dijadikan panduan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Fakta menarik tentang Sihir, selain Michael dan Azmir, Kamal dan Hun sendiri diberi kepercayaan mengarahkan beberapa episod cerita tersebut.

Ditanya tentang peluang yang diberikan dan sejauh mana perkara tersebut mempengaruhi keseriusannya dalam kerja pengarahan, Kamal memberi respons ringkas.

“Kalau untuk pengarahan, memang ada perancangan tapi tak berapa serius ke arah itu. Jadi saya fokus berlakon sahajalah,” jelasnya.

Penggambaran drama Sihir yang dilakukan di kawasan perkampungan di Lukut, Perak masih berjalan dan dijangka tamat kurang sebulan lagi.

Sihir bersiaran setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 11 malam menerusi saluran Astro Ria (104) serta boleh distrim dalam aplikasi Astro GO dan On Demand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI