“PERASAAN saya bercampur baur. Terharu, gembira dan sebak semuanya ada, kerana inilah saat-saat yang telah lama saya nantikan sebagai jururawat di negara ini,” kata seorang jururawat yang hanya mahu dikenali sebagai Wati.
Akui Wati, kegembiraan tersebut bukan hanya dirasai dirinya, tetapi lebih 7,000 orang jururawat beragama Islam di Singapura yang lain.
Ternyata, tanggal 1 November 2021 memahat sejarah baharu buat masyarakat di Kota Singa selepas Perdana Menterinya, Lee Hseian Loong mengumumkan kebenaran pemakaian tudung dalam kalangan jururawat ketika berucap pada Perhimpunan Rapat Umum Hari Kebangsaan 29 Ogos lalu.
Dasar tersebut diperkenalkan selepas kerajaan mendapatkan nasihat dan konsensus berkenaan isu pemakaian tudung dalam kalangan jururawat awal tahun ini.
Biarpun begitu, sebelum ini beberapa buah negara bukan Islam pernah mengambil pendekatan sama dengan membenarkan pemakaian tudung dalam kalangan wanita Muslim bagi pasukan beruniform. Antaranya ialah pasukan polis di New Zealand yang memperkenalkan pemakaian tudung dalam kalangan anggota wanitanya pada November tahun lalu.
Ujar Wati, dia percaya kebanyakan jururawat beragama Islam di negaranya bersyukur dengan perubahan dasar baharu buat pertama kali selepas 56 tahun.
Menceritakan pengalamannya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital awam sejak 16 tahun lalu, menurut wanita berusia 36 tahun ini lagi, dia tidak menjangkakan perkara tersebut akan menjadi realiti memandangkan dirinya sudah lama berputus harapan apabila tidak dibenarkan memakai tudung di tempat kerja.
Biasanya, dia hanya berkesempatan menyarung tudung sewaktu dalam perjalanan ke hospital. Sebaik mahu menjalankan tugas, dia terpaksa menanggalkan sebelum menyarungkannya kembali ketika mahu pulang.
“Ada sebab mengapa tudung sangat penting kepada masyarakat Islam. Memakai tudung adalah sebahagian daripada tuntutan dan kewajiban kami sebagai seorang muslim.
“Jururawat merupakan satu tugas yang murni kerana membantu dalam menyembuhkan pesakit. Justeru, sepanjang bekerja, saya hanya berpegang pada prinsip itu biarpun ralat kerana tidak dapat mempratikkan tuntutan sebagai seorang Muslim.
“Tetapi kini tidak lagi apabila saya berjaya merealisasikan dan uniform tersebut menjadi sebahagian daripada komuniti,” katanya.
Sejak beberapa dekad lalu, jumlah wanita Muslim yang memakai tudung di Singapura terus meningkat. Biarpun dasar sekular Singapura berkait pemakaian di institusi awamnya menetapkan tidak boleh condong kepada mana-mana kepercayaan agama, namun Hseian Loong menjelaskan, sejak tahun 2014 lagi pihaknya telah mengadakan perbincangan berhubung isu berkenaan dalam satu pertemuan tertutup bersama pemimpin-pemimpin Islam.
Memetik laporan daripada Mediacorp, kata Hseian Loong, dalam pertemuan tersebut, pemimpin-pemimpin Islam menjelaskan secara terperinci kepadanya mengapa pemakaian tudung sangat penting kepada masyarakat Muslim.
“Sebelum dasar tersebut ditukar, kami terlebih dahulu perlu memastikan semua orang sama ada Islam mahupun bukan Islam memahami dan menerima perubahan yang dilakukan itu.
“Ini kerana, pemakaian tudung bukanlah hanya isu membabitkan masyarakat Muslim sahaja, sebaliknya ia merupakan isu nasional,” katanya.
Terangnya, menyedari hubungan antara pelbagai kaum di negara tersebut kekal sejahtera biarpun ura-ura kebenaran pemakaian tudung dalam kalangan jururawat telah lama bertebaran sejak beberapa tahun lalu, dia terus menetapkan dasar tersebut awal bulan lalu.
“Saya akui, masyarakat bukan Islam sudah boleh menerima pemakaian tudung dalam kalangan wanita Islam. Mereka juga dilihat cukup senang berinteraksi secara sosial dalam kebanyakan suasana.
“Terutamanya di hospital yang mana beberapa kakitangan tidak beruniform yang memakai tudung dilihat tetap mempunyai hubungan yang baik dengan rakan sekerja serta pesakit.
“Justeru, kami mula membuat pelarasan lanjut dengan lebih berhati-hati bagi memastikan keharmonian kaum dan agama sentiasa terjaga dan harmoni,” tambahnya.
Biarpun begitu, jururawat yang ingin memakai tudung perlu mematuhi dasar garis panduan iaitu tiada pakaian di bawah siku (BBE) memandangkan ia merupakan salah satu panduan klinikal bagi pemakaian tudung dalam tugas yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan negara tersebut.
Berdasarkan garis panduan yang ditetapkan itu juga, kesemua jururawat perlu mendedahkan bahagian tangan dan lengan hingga paras siku, selain bebas daripada pemakaian aksesori seperti barangan kemas.
Bukan itu sahaja, lengan baju juga perlu pendek dan digulung rapi sehingga ke paras siku bagi membolehkan petugas mengakses kepada pergelangan tangan bagi teknik kebersihan tangan yang baik.
Dasar tersebut perlu dipatuhi oleh semua pekerja penjagaan kesihatan semasa berinteraksi dengan pesakit atau ketika berhampiran pesakit, memandangkan terdapat bukti yang menunjukkan kebanyakan kuman dan bakteria yang ditemui pada pakaian pekerja penjagaan kesihatan terdapat di bahagian lengan baju dan kocek.
Menyambut baik perkhabaran tersebut, pelbagai rekaan tudung dikeluarkan oleh hospital-hospital di Singapura bagi memenuhi keperluan jururawat Muslim mereka. Menariknya jururawat wanita boleh memilih untuk membeli tudung yang dibenarkan atau memakai tudung mereka sendiri asalkan ia mematuhi garis panduan hospital.
Mengambil contoh tudung rekaan kumpulan perubatan SingHealth, mereka mengeluarkan pelitup kepala yang mempunyai belahan bagi memudahkan pemakaian pelitup pembedahan dan stetoskop sewaktu mereka menjalankan tugas.
Bukan itu sahaja, SingHealth juga mengeluarkan tudung dalam dua warna iaitu putih dan kelabu bagi membolehkan petugas menyuai padan tudung yang dipakai bersesuaian dengan pakaian seragam masing-masing.
Berbeza pula bagi IHH Healthcare, pusat yang mengendalikan hospital-hospital seperti Mount Elizabeth dan Gleneagles yang mana mereka akan menggunakan warna-warna yang berbeza bagi setiap jawatan.
Menurut pusat tersebut, jururawat akan memakai tudung dengan warna kuning air, manakala kakitangan pentadbiran pula akan menggunakan warna biru selain warna hitam bagi kakitangan bahagian makanan dan minuman.
Tidak melaksanakan peraturan terlalu rigid, mereka turut dibenarkan memakai tudung sendiri sekiranya sepadan dengan gaya dibenarkan IHH.
Tidak kurang juga ada sesetengah pihak yang sedang mempertimbangkan pemakaian tudung pakai buang dalam persekitaran steril bagi mengelakkan jangkitan pada badan. Bagaimanapun ia masih dalam pertimbangan.
Pertama kali menyarungkan tudung yang dikeluarkan SingHealth pada 1 November lalu, Nur Hafizah Abdul Aziz teruja kerana penutup kepala tersebut sangat selesa, ringan dan tidak mengganggu pergerakannya.
“Termakbul doa ketua-ketua saya yang berharap agar kami diberi pilihan untuk bertudung satu hari nanti.
“Saya rasa dengan keseragaman ini, ia akan tetap menampilkan diri kita sebagai seorang jururawat profesional dan diharap sama sekali tidak akan menjejaskan keyakinan para pesakit,” katanya.