fbpx

Puteri Aishah nikah bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI Aishah bakal menamatkan zaman bujang bersama pilihan hatinya iaitu seorang ahli perniagaan hujung bulan ini.

PETALING JAYA – Pelakon Puteri Aishah mengesahkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan seorang ahli perniagaan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Ujar pelakon berusia 27 tahun itu, jika mengikut perancangan awal, majlis pernikahannya sepatutnya dibuat lebih awal, namun terpaksa ditunda ekoran situasi semasa yang tidak mengizinkan.

“Sepatutnya kami merancang untuk bernikah lebih awal, namun melihat kepada situasi semasa kami bersepakat mendirikan rumah tangga pada bulan ini, insya-Allah.

“Sekiranya semua dipermudahkan, kami akan teruskan seperti apa yang dirancang,” katanya.

Sehinggga kini, Aishah bagaimanapun belum bersedia untuk berkongsi butiran terperinci mengenai majlis pernikahannya dengan jejaka berusia 28 tahun itu.

Ujar pelakon drama Rahimah Tanpa Rahim itu lagi, persiapan untuk menuju hari bahagianya berjalan lancar dan sudah siap hampir 80 peratus.

“Syukur alhamdulillah, segala persiapan untuk majlis pernikahan nanti sudah siap hampir 80 peratus.

“Kalau boleh biarlah perkahwinan kami dapat disaksikan oleh keluarga kedua-kedua belah pihak nanti,” jelasnya.

Disoal tentang gerangan lelaki yang berjaya mencuri hatinya, Aishah berkata bahawa dia akan berkongsi tentang perkara tersebut menjelang majlis pernikahannya nanti.

“Saya tidak berniat untuk merahsiakan tarikh perkahwinan dan identiti bakal suami. Siapa yang tahu, tahulah. Tapi selebihnya, semua saya akan dikongsikan pada hari terbabit nanti,” katanya.

Ujar Aishah, dia mengenali teman lelakinya itu lebih dua tahun lalu dan teruja untuk melangkah ke fasa seterusnya.

“Saya sangat bersyukur kerana bakal suami menyokong karier seni saya selepas ini. Malah kami berdua memang jenis kuat bekerja dan tiada masalah mengenai perkara itu.

“Kami faham mengenai kerjaya masing-masing. Dia tidak pernah melarang minat saya terhadap dunia lakonan sebaliknya memberi galakan terhadap apa yang saya lakukan selagi tidak melampaui batas.

“Doakan semoga majlis pernikahan nanti akan berjalan lancar. Apa yang saya kongsikan majlis akan diadakan secara sederhana dan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI