LAS VEGAS – Canelo Alvarez membuktikan dia merupakan petinju terbaik bagi kelas super middleweight selepas berjaya menumbangkan Caleb Plant di MGM Grand Garden Arena semalam.
Pada perlawanan tersebut, petinju Mexico tersebut tampil agresif, namun berdepan kesukaran untuk mengatasi Plant pada awal perlawanan selepas masing-masing beraksi dengan penuh berhati-hati.
Alvarez terpaksa menanti pada pusingan ke-11 sebelum berjaya menjatuhkan Plant selepas berjaya melepaskan tumbukan tangan kiri dan uppercut.
Meskipun Plant cuba bangkit untuk meneruskan perlawanan. dia gagal selepas jatuh buat kali kedua apabila menerima tumbukan padu tangan kanan lawannya itu.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh peminat yang hadir pada hari ini untuk menyaksikan perlawanan penuh bersejarah ini.
“Bukan mudah untuk sampai ke tahap ini tetapi dengan sokongan keluarga, pasukan dan rakyat Mexico, ia memastikan kemenangan saya,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Ketika ditanya mengenai perancangannya pada masa akan datang, Alvarez mengakui dia mahu berehat sebelum mengatur perlawanan seterusnya.
Hasil kemenangan tersebut, petinju berusia 31 tahun tersebut kini telah merangkul semua gelaran utama super middleweight WBA, WBC, WBO dan juga IBF. – AGENSI