PASANGAN selebriti terkenal Justin Bieber dan isterinya, Hailey Baldwin kembali mencuri perhatian ramai apabila kedua-dua mereka mendedahkan perihal kesihatan mental masing-masing sepanjang tiga tahun bergelar suami isteri.
Dalam satu kenyataannya, Bieber berkata, isterinya adalah individu yang bertanggungjawab membantu dirinya bangkit mempercayai semula tentang cinta.
Ujar penyanyi lagu Baby itu, dia mengakui trauma untuk bercinta selepas mengalami ‘luka’ yang serius selepas hubungannya dengan penyanyi dan juga pelakon, Selena Gomez berakhir.
“Saya hampir membunuh diri kerana cinta. Sejujurnya saya trauma. Untungnya isteri saya hadir pada waktu yang tepat untuk menerima saya seadanya.
“Bahkan ketika kami berkahwin, masih ada banyak luka yang belum sembuh dan perlu diperbaiki,” katanya dalam program In Good Faith.
Dalam pada itu, Baldwin berkata, dia akan bertahan semampu mungkin untuk suaminya tidak kira apa yang berlaku.
“Sejak menerima lamaran suami, saya berjanji untuk setia di sampingnya tidak kira walau apa pun yang terjadi,” katanya.