PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir beserta hujan lebat bagi enam negeri yang dijangka berlaku sehingga pukul 11 malam hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, penduduk di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan diingatkan untuk terus berwaspada dengan ramalan cuaca buruk ini.
“Di Kedah, kawasan yang terlibat ialah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
“Di Pulau Pinang, kesemua kawasan diramalkan memgalami hujan lebat dan ribut petir, manakala di Perak, melibatkan kawasan Kerian, Larut Matang Dan Selama, Hulu Perak, Manjung, Kinta, Perak tengah, Kampar dan Batang Padang,” katanya.
Selain itu, ramalan yang sama turut melibatkan Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit) dan Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) di Sarawak.
“Di Sabah, kawasan terlibat ialah Pendalaman (Tenom dan Kuala Penyu) serta keseluruhan kawasan di WP Labuan,” katanya lagi. – K! ONLINE