fbpx

Pengguna jalan raya takut jatuh ‘gaung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUNTUHAN hampir separuh jalan berlaku di Kampung Tuit ke Hulu Tembeling berdekatan Kem Nusa, Kuala Tahan, Jerantut semalam.

JERANTUT – Kejadian runtuhan jalan ke Hulu Tembeling di sini bukan sahaja meresahkan penduduk setempat, malah memberi kesan kepada sektor pelancongan di kawasan itu yang mula rancak dalam tempoh fasa pemulihan negara.

Runtuhan jalan cerun itu menyebabkan pelancong domestik yang ‘ghairah’ mengunjungi kawasan ekopelancongan itu berasa bimbang jika terjatuh ke dalam ‘gaung’.

Tinjauan Kosmo! di lokasi itu semalam mendapati, hanya satu lorong jalan yang boleh dilalui di dua lokasi runtuhan jalan iaitu di antara Kampung Tuit ke Kampung Pagi berdekatan Kem Nusa dan berdekatan Pusat Rekreasi Bukit Awam di antara Kampung Pagi dan Kuala Sat.

Seorang pengunjung dari Lembah Klang, Azhari Rahman,40, berkata dia bimbang ketika memandu di laluan runtuhan tebing yang dilihat boleh membahayakan kenderaan jika tiba-tiba berlaku lagi runtuhan tanah.

“Sepatutnya ada pemantauan dan dibaik pulih segera supaya tidak berlaku keadaan yang lebih teruk sehingga mengganggu laluan kenderaan.

“Saya sudah tiga kali berkunjung ke Kampung Kuala Sat, namun keadaan mendapan tanah dan runtuhan tebing masih berlaku, malah di kiri kanan jalan juga semak-samun dan pokok kecil yang tidak diuruskan kerja pembersihan,” katanya di Kampung Kuala Sat di sini.

Menurut Azhari, keadaan tersebut boleh menjejaskan kemajuan kawasan ekopelancongan kampung tradisional Hulu Tembeling yang menarik ramai pengunjung khususnya masyarakat ibu kota yang ingin menikmati hutan tropika dan makanan tradisional penduduk tempatan.

Pengusaha pelancongan di Kampung Kuala Sat, Zulkifli Jamaludin berharap kerajaan dapat membaik pulih runtuhan jalan tersebut untuk keselesaan dan keselamatan penduduk serta pengunjung luar.

“Kita sebagai pengusaha dan penggiat ekopelancongan di sini mahukan kemudahan jalan raya yang sempurna kerana tempoh sebelum musim tengkujuh ini merupakan peluang untuk memperoleh rezeki apabila pengunjung ramai datang ke sini.

“Bagi penduduk Hulu Tembe­ling, jalan raya berkenaan merupakan perhubungan darat utama sejauh 130 kilometer ke bandar Jerantut iaitu lebih menjimatkan masa perjalanan dan kos berbanding penggunaan bot penambang sebelum ini,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI