PETALING JAYA – Tular sebuah klip video yang memaparkan seorang pemandu hampir terbabas apabila kenderaan yang dipandunya dipercayai dibaling beberapa ketulan batu dari laluan bertingkat sehingga memecahkan cermin keretanya.
Melalui video yang dikongsikan di TikTok @kezurulzalzal97, kejadian tersebut berlaku di laluan bertingkat Lebuh Raya Utara Selatan sekitar kawasan Jitra sewaktu memandu dari arah Malau.
“Tolong berhati-hati dan tularkan agar orang lain tidak terkena sama. Nasib baik tidak terbabas, kejadian baling batu dari ‘flyover’,” katanya di aplikasi Tiktok.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman sosial turut berkongsi pengalaman mereka yang hampir sama dengan kejadian pemandu tersebut.
“Baru sahaja saya terkena dengan menunggang motosikal pula sehingga bahu retak dan dada lebam, anggap sebagai dugaan bekerja,” kongsi pengguna @wazaapppppp_
“Kami mangsa kejadian lempar batu nasib tidak terbabas saya dan rakan-rakan yang dalam perjalanan ke Kuala Perlis, nasib baik rakan tidak melatah dan alhamdulillah Allah panjangkan umur kami,” kata Ryan.-K! ONLINE