PETALING JAYA – Pecca Group Berhad (Pecca) telah mengubah suai strategi kepelbagaian perniagaan penjagaan kesihatannya selepas berunding dengan pihak berkepentingannya.
Pengarah Urusan Pecca Group Datuk Teoh Hwa Cheng berkata, bagaimanapun niat Kumpulan untuk kepelbagaian masih berterusan dan ia merancang untuk menggunakan kedudukan tunainya yang kukuh untuk mencari peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) atau usaha sama (JV) yang bersesuaian.
Jelasnya, Kumpulan telah membatalkan cadangan pengambilalihan 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Rentas Health Sdn Bhd dengan memeterai Perjanjian Pembatalan dan Pelepasan Bersama bagi meneroka kaedah kerjasama yang berbeza.
Oleh itu, Perjanjian Jual Beli bertarikh 2 Ogos 2021 dibatalkan berkuatkuasa serta-merta.
Kumpulan menegaskan cadangan mempelbagaikan perniagaan penjagaan kesihatan tidak akan diteruskan ketika ini dengan mengambil kira perniagaan penjagaan kesihatan sedia ada yang dijangka tidak akan menyumbang 25 peratus atau lebih daripada aset bersih atau keuntungan bersih Kumpulan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, Pecca akan terus memantau sumbangan perniagaan berkaitan penjagaan kesihatannya yang mana ketika ini kebanyakan membabitkan pengeluaran pelitup muka perubatan dan akan membuat pengumuman yang diperlukan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad apabila perniagaan serta kontrak baharu dikenal pasti.
“Pelan mempelbagaikan perniagaan kekal menjadi langkah positif Pecca dalam usaha untuk mengelakkan Kumpulan daripada bergantung semata-mata kepada satu segmen perniagaan.
“Adalah menjadi keutamaan kepada kami untuk mencari sumber pendapatan selain daripada segmen automotif, dan kami akan meneroka cara yang lebih bermanfaat untuk bekerjasama dengan rakan kongsi kami.
“Apabila wujudnya sebarang peluang baharu, Lembaga Pengarah juga akan mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pemegang saham jika ia diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Pecca yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia terlibat dalam aktiviti berkaitan reka bentuk dan pengeluaran upholsteri kulit kenderaan.
Untuk rekod, pada 2 Ogos lalu, Pecca bercadang untuk mengambilalih 51 peratus kepentingan dalam syarikat pembekal peralatan perlindungan diri (PPE), Rentas Health dengan membabitkan nilai RM100 juta.