fbpx

Mengumpat makin parah di media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
NOR ERYANI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

DALAM masyarakat kita, budaya tidak sihat seperti mengumpat sudah berkurun ada dan walaupun sebenarnya perbuatan tersebut sangat negatif, tetapi tetap menjadi amalan ramai.

Jika dahulu, amalan meng­um­pat dilakukan secara menyam­pai dari mulut ke mulut, tetapi mengikut peredaran zaman de­ngan kecanggihan teknologi, perbuatan tidak elok itu semakin membarah kerana semua orang boleh me­ngumpat atau menyebar aib di hujung jari.

Media sosial sering panas de­ngan banyak kisah buka aib atau terma urban popular yang digunakan netizen, spill the tea sesete­ngah pihak yang kemudian berlanjutan dan tersebar luas dengan adanya kuasa media sosial.

Ada sesetengahnya bertindak menyebarkan aib demi mencari publisiti, tidak kurang juga yang melakukan perbuatan tersebut atas tujuan khianat, memalukan atau pun meraih perhatian.

Menurut pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Zaid Ahmad, budaya merupakan sesuatu yang timbul dalam masyarakat dan melalui perubahan.

Media sosial adalah perkara baharu, tetapi perbuatan me­ngumpat atau menyebar aib sudah lama menjadi ‘resam’ keba­nyakan masyarakat kita.

“Perbuatan menyampai cerita sudah lama ada dalam masyarakat kita. Cuma sekarang, bentuk sahaja berbeza. Sebab kita ada benda atau medium baharu untuk menyokong perbuatan ini iaitu media sosial.

“Kalau dahulu, jika ada orang mengumpat, kita boleh tahu siapa yang membawa cerita. Sekarang berbeza sebab pelaku rasa selamat dan orang tidak kenal dia kerana berselindung di sebalik gajet.

“Sebab itulah budaya me­ngumpat dan sebar aib berleluasa kerana pelaku rasa selesa me­nyampaikan perkara tidak betul tanpa rasa takut,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kecanggihan teknologi mungkin membuatkan kita hidup dalam kemajuan, namun kewujudannya tidak datang sekali dengan pengetahuan awam.

“Masyarakat kita kurang ke­sedaran dari segi penggunaan teknologi yang terlalu pesat sampaikan kita tak sempat nak ikut. Kita pula seronok ikut benda baharu, tetapi pada masa sama tak sedar sebenarnya kita telah menjadi mangsa kepada teknologi.

“Lihat dunia sekarang, berapa ramai yang menjadi mang­sa teknologi dan kejahilan diri sendiri? Teknologi tak salah, namun kita sebagai pengguna tak ambil berat pasal ilmu.

“Apa yang kita tahu, cuma kese­ronokan berkongsi semua benda dalam media sosial. Harus ditekankan di sini bahawa gajet tak salah. Dengan gajet, kita boleh guna untuk berdakwah juga.

“Kesimpulannya di sini adalah semuanya bergantung kepada manusia yang menggunakan gajet,” ujarnya lagi.

Meskipun tidak dinafikan sesetengah perbuatan menyebar aib misalnya dapat memberi ke­­san positif, tetapi kata Zaid, keburukan lebih banyak berban­ding kebaikan.

“Tak boleh nafikan sekiranya sesuatu perkara itu ada kesan baik dan boleh memberi di­dikan supaya orang lain menjadi baik. Cuma harus diakui bahawa perbuatan sebegini sangat banyak kesan negatif. Mendedahkan ke­aiban orang, tak bagus.

“Contohnya kalau sesuatu isu tular, kita percaya dengan pendedahan yang dibuat oleh seseorang, kemudian menjadi penyebar. Sebenarnya dari segi tanggungjawab, kita tak boleh sebar sekali pun kalau kita percaya dengan gosip yang dibawa individu terbabit sebab kita bukanlah saksi,” jelasnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI