SHAH ALAM – Kegagalan sistem pendawaian elektrik di rumah atau kediaman menjadi penyumbang utama punca berlakunya kebakaran di Selangor.
Berdasarkan statistik tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, sebanyak 54 peratus kebakaran berpunca faktor itu selain melibatkan perkakasan gas.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, rekod menunjukkan rumah kediaman menyumbang kepada 63 peratus jumlah kebakaran di negeri ini.
Katanya, punca bencana itu antaranya berikutan kegagalan sistem pendawaian dan perkakasan elektrik yang digunakan.
“Pendawaian yang usang perlu dilakukan penyelenggaraan semula oleh kontraktor yang bertauliah.
“Perkakasan elektrik yang diiktiraf oleh SIRIM juga penting bagi mengelak kegagalan fungsinya yang boleh mengakibatkan kebakaran,” katanya ketika melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran JBPM peringkat negeri di sini, petang tadi.-K!ONLINE