YAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Perupok di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Hafizan Awaisy dikatakan bermain di tepi sungai.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa sebelum kejadian bermain dengan kakaknya berusia sembilan tahun di tepi sungai.
“Kakaknya kemudian pulang ke rumah neneknya terlebih dahulu dan meninggalkan adiknya bermain seorang di tepi sungai itu.
“Selepas itu, dia dan ibunya yang berusia 36 tahun menunggu kanak-kanak itu pulang ke rumah tetapi masih tidak pulang,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, setelah mendapati kanak-kanak itu masih belum pulang, mereka terus ke tempat kejadian dan mendapati hanya terdapat basikal mangsa di situ. – K! ONLINE