fbpx

Kalau dah tahu kayu, kenalah belajar – Isyariana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISYARIANA

IRONI, isu berkaitan jumlah pengikut media sosial yang ramai sebagai ‘pelaris’ untuk seseorang artis disambar stesen televisyen menjadi pelakon belum menemui titik noktah sehingga ke hari ini.

Biarpun ramai yang tidak bersetuju dengan amalan tersebut kerana menyifatkan kebanyakan artis yang mempunyai pengikut ramai tidak berbakat dan hanya bersandarkan rupa semata-mata, namun masih ada segolongan pihak yang memberi kata setuju.

Di antara celah-celah dua penerimaan berbeza tersebut, pelakon Isyariana ada buah fikiran sendiri.

Pelakon itu yang ditemu bual secara maya untuk mempromosikan drama lakonannya, Hati Yang Disakiti (HYD) baru-baru ini menuang pendapat terhadap isu tersebut yang belum berkesudahan.

PERNAH kekok ketika awal berlakon, namun latihan dan kelas lakonan disertai Isyariana banyak membantu dia mengasah bakat.

Kata pemilik nama lengkap Isyariana Che Azmi itu, sejujurnya dia juga bukanlah seorang pelakon yang mempunyai pengikut media sosial mencecah jutaan orang.

Pun begitu, dia percaya apa yang dicapainya hari ini adalah atas usaha kerasnya memperbaiki hasil kerja sehingga menjadi kepercayaan stesen televisyen dan produksi untuk memegang watak utama.

“Bagi saya, kalau nak ikut trend sebegitu, memang tidak tercapailah. Sebab saya sendiri pun bukannya ada ramai pengikut sampai berjuta-juta. Biasa-biasa sahaja.

“Cuma apa yang saya perlu lakukan untuk kekal relevan dan bakat dipandang, kena sentiasa perbaiki hasil kerja. Cuma kalau untuk bersaing dengan orang lain (yang ada pengikut ramai), tak mungkin lah,” katanya.

Seiringan

Tambah pelakon berusia 31 tahun itu lagi, jika seseorang artis diberi tawaran berlakon kerana faktor pengikut ramai, golongan tersebut contohnya yang tiada ilmu lakonan seperti pensohor media sosial (influencer), ruang untuk belajar sentiasa ada.

Luangkan masa untuk menggali ilmu dan mengasah bakat lakonan agar rezeki yang diberikan tidak disia-siakan dengan kecaman sebagai pelakon kayu.

KATA Isyariana, bakat dan populariti perlu berjalan seiringan.

“Kalau dah tahu kayu, kenalah belajar. Gunakan rezeki diberikan tawaran berlakon untuk perbaiki diri.

“Semuanya ada proses. Saya dulu pun awal-awal berlakon memang kekok juga. Tapi sentiasa belajar dan ambil kelas lakonan. Perlahan-lahan pasti membuahkan hasil,” ujarnya optimis.

Canggung

Melanjutkan perbualan tempoh hari untuk drama HYD, Isyariana mengakui teruja dapat kembali ke set penggambaran selepas sekian lama tertunda gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0).

Dalam HYD yang menyaksikan dia bergandingan dengan Amar Baharin sebagai bintang utama, pelakon itu memegang watak sebagai Lisa, anak ketiga daripada empat beradik dan berperwatakan lemah lembut tetapi tegas dengan orang luar.

Jika Amar berubah dari segi bentuk badan sepanjang beberapa bulan penggambaran ditangguhkan, Isyariana juga mengakui ada berdepan perubahan.

Tetapi bukan perubahan fizikal, cuma rambutnya semakin panjang dan dia terpaksa memotong pendek demi mengekalkan imej asal watak Lisa.

DALAM HYD, Isyariana seronok memegang watak Lisa yang bekerja sebagai jururawat kerana uniform pekerjaan itu sangat comel baginya.

“Agak lama juga kami berhenti penggambaran, dari bulan Februari sehingga Ogos. Saya memang duduk di rumah sahaja dan tak makan banyak, jadi berat badan tak berubah pun.

“Cuma dalam tempoh tersebut, rambut saya semakin panjang. Jadi kena potong untuk kekalkan imej watak Lisa sebelum ini,” jelasnya.

Ditanya apakah tempoh panjang penggambaran ditunda memberi kesan terhadap penghayatan watak dalam HYD, Isyariana mengakui berasa sedikit canggung ketika mula-mula kembali bekerja.

“Cabaran masuk set pada hari pertama, lidah agak bergulung nak lontarkan dialog sebab dah lama tak berlakon kan. Jadi rasa agak kekok sikitlah.

“Tapi sepanjang PKP, saya tak lupakan terus watak Lisa. Saya masih sertai kelas dan praktis dialog. Untuk mengelakkan lupa, saya baca skrip dan tonton semula cerita Mis Tres Hermanas sebagai rujukan watak saya,” katanya yang bagaimanapun mengakui tidak sukar kembali membina keserasian bersama Amar.

OST drama

Bagi yang sejak awal mengikuti perkembangan karier Isyariana pasti mengetahui pelakon itu memulakan kariernya sebagai penyanyi dengan menyertai program Akademi Fantasia 2016 (AF2016).

Atas faktor itu, dia bukan sekadar memegang watak utama dalam HYD bahkan diberi kepercayaan menyanyikan lagu runut bunyi (OST) naskhah berkenaan berjudul Vida.

Menceritakan lanjut tentang perkara tersebut, pelakon kelahiran Temerloh, Pahang itu teruja menggalas tanggungjawab menjadi penyanyi OST bergandingan dengan Dean Eiman.

BIARPUN lama tertunda, namun Isyariana tidak melalui cabaran mendapatkan kembali keserasian bersama Amar di set penggambaran HYD.

“Saya merakamkan lagu ini sewaktu tempoh penggambaran berjalan. Mula-mula rakam, tak berapa sampai ‘feel’. Mungkin agak penat sebab penggambaran dilakukan tanpa henti, jadi saya tiada waktu rehat yang betul.

“Kemudian saya rakam buat kali kedua, barulah okey sedikit. Tapi saya teruja sebab diberi kepercayaan menyanyikan lagu ini,” katanya.

Biarpun sedikit terganggu gara-gara PKP, namun hakikatnya drama HYD sentiasa mendapat tempat dalam hati penonton, tidak seperti yang difikirkan Isyariana.

“Sebenarnya ramai yang ikut dan tonton cerita ini dalam diam. Bukan sekadar lokal, bahkan sampai ada penonton dalam kalangan Singapura dan Indonesia.

“Apabila sudah kembali ditayangkan, ada lebih banyak konflik dan jalan cerita menarik. Jadi saya harap peminat akan mengikuti cerita ini sampai tamat,” katanya menutup perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI