SEREMBAN – Seramai 290 orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bersiap sedia menghadapi monsun timur laut termasuk fenomena air pasang besar.
Penolong Pengarah Operasi, JBPM Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, walaupun negeri ini tidak terkesan secara langsung dengan fenomena itu, latihan dan persediaan sentiasa dijalankan oleh pihaknya.
“Kami bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku untuk monsun timur laut. Pihak kami juga telah menyelenggara sebanyak 27 buah bot sekiranya berlaku apa-apa bencana termasuk air pasang besar.
“Seramai 290 orang anggota bomba di negeri ini telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ketika ini juga kami sedang menjalankan latihan pemanduan bot bagi menguji kecekapan anggota di negeri ini apabila kejadian air pasang besar berlaku,” katanya hari ini.
Menurutnya, ujian pemanduan bot itu akan diadakan sewaktu air pasang besar yang dijangka akan berlaku di sekitar pantai Port Dickson esok.
“Pihak bomba akan menjalankan latihan pemanduan bot sewaktu air pasang besar yang dijangka berlaku dengan ketinggian air 2.7 meter melebihi paras biasa pada pukul 10 hingga 11 pagi esok.
“Latihan pemanduan bot yang dijalankan pada setiap tahun itu adalah bagi menghadapi monsun timur laut berkenaan yang bertindak menguji kecekapan anggota bomba di negeri ini dan pada masa yang sama, dapat memberi latihan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Mukhlis menasihatkan orang ramai yang berada di pantai sewaktu air pasang besar supaya berhati-hati dan peka dengan amaran sekiranya berlaku kecemasan.
“Pada tahun ini sahaja, terdapat empat kes kejadian lemas yang berlaku di negeri ini. Orang ramai yang mahu mandi-manda di pantai dinasihatkan agar berhati-hati dan peka dengan sekeliling bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.- K! ONLINE