fbpx

‘Jangan tebang, alih tanaman kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN penduduk berhimpun sambil memegang sepanduk sebagai tanda bantahan terhadap MBPP di Bayan Lepas, George Town semalam. - IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Kira-kira 500 penduduk Pintasan Kelicap di Bayan Lepas di sini kesal de­ngan arahan supaya mengalihkan ta­naman yang telah diusahakan mereka sejak 20 tahun lalu sekali gus mendesak campur tangan kerajaan negeri.

Mereka berasa kecewa selepas penduduk di 84 buah rumah teres di kawasan itu me­nerima dua notis daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bertarikh 22 Oktober dan 29 Oktober lalu.

Semalam, seramai 30 penduduk berhimpun secara aman bagi membantah arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dan merayu agar tanaman mereka tidak dimusnahkan.

Wakil penduduk, Hanani Hassan, 37, berkata, pihaknya me­rayu MBPP menarik balik notis arahan supaya mengalihkan ta­naman dan struktur tanpa kebenaran di bahu jalan berhadapan kediaman penduduk.

Menurut Hanani, terdapat lebih 50 tanaman bermusim se­perti harum manis, jambu, ciku, belimbing dan tumbuhan herba ditanam di kawasan itu.

“Kami terkejut menerima dua notis berserta lampiran gambar yang meminta penduduk mengalih dan menebang pokok dalam masa 14 hari bermula dari tarikh notis berkenaan dikeluarkan.

“Arahan yang diberikan tidak begitu jelas. Sepatutnya MBPP turun padang bertemu penduduk sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita semalam.

Turut hadir Presiden Persa­tuan Pengguna Pulau Pinang, ­Mohideen Abdul Kader.

Menurutnya, penduduk yang terdiri daripada warga emas telah mengusahakan tanaman sejak berpindah ke situ 20 tahun lalu dan hasilnya diagihkan kepada komuniti.

“Kenapa baru sekarang hendak bertindak,” soalnya.

Sementara itu, penduduk, Samsudin Hussain, 80, pula memberitahu, tanaman yang diusahakan mereka memberi pelbagai manfaat termasuk sebagai tempat berteduh dan mengelak masalah debu akibat pergerakan kende­raan di laluan utama.

“Tanaman hijau ini merupakan kelebihan bagi kami dan secara tidak langsung membangkitkan semangat kejiranan dalam kalangan penduduk yang ber­bilang bangsa,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI