IPOH – Hasrat seorang warga emas yang juga penjual buah-buahan ingin mendapatkan basikal roda tiga untuk berniaga termakbul apabila menerima hadiah tersebut yang lama diimpikan.
Ini kerana basikal roda tiga milik Yip Foong Yin, 70, sudah rosak lantas menyukarkan dia untuk berniaga.
Lebih menggembirakan Foong Yin apabila hadiah basikal bernilai RM3,500 itu disampaikan sendiri oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin baru-baru ini.
Kesusahan hidup Foong Yin ini disedari Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon Pinji, Richard Ng semasa menghulurkan sumbangan menerusi Program MBI Prihatin sebelumnya.
Menurut Foong Yin, dia tinggal sebatang kara di pinggir Sungai Pinji dekat Taman Pakatan Jaya selepas rumah peninggalan keluarganya musnah dalam kebakaran.
Katanya, dia berniaga menjual buah-buahan di Taman Perpaduan yang letaknya kira-kira tiga kilometer dari tempat tinggalnya.
“Dulu saya bekerja sebagai buruh binaan tapi tenaga tidak sekuat dulu, jadi sekarang menyara hidup dengan hasil jualan buah-buahan di kebun peninggalan bapa.
“Disebabkan basikal rosak saya tidak berniaga tapi dengan ada basikal baru bolehlah saya berniaga buah-buahan,” ujarnya.-K! ONLINE