fbpx

Ernie, Syamel bakal timang bayi perempuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ernie dan Syamel terbuka dan tidak bersorok mengenai jantina anak sulung mereka kepada umum.

PETALING JAYA – Tanpa berbasa-basi atau melakukan percubaan untuk meninggalkan status teka-teki, pasangan vokal emas, Syamel dan Ernie Zakrie mengakui anak sulung yang bakal dilahirkan Mac depan merupakan bayi perempuan.

Pendedahan tersebut dibuat Syamel atau nama sebenarnya Syamel Aqmal Mohd. Fodzly, 28, secara tidak sengaja ketika menjayakan Konsert Patriotik Tanah Airku di Istana Budaya (IB) malam kelmarin.

“Memang niat kami untuk berkongsi jantina anak, namun bukan dalam masa terdekat ini.

“Tapi kerana terlalu ralit dan teruja kerana sudah lama tidak berada di atas pentas, saya jadi lupa dan ‘terlepas’ bab jantina anak itu.

“Saya harap perkara tersebut tidak merosakkan perancangan isteri yang mungkin mahu mengadakan majlis untuk mengumumkan jantina anak,” katanya.

Mengaku terkejut dengan aksi spontan suaminya, Ernie atau nama penuh, Nur Ernie Shahirah Zakri yang kini hamil enam bulan bagaimanapun tidak menyalahkan Syamel, sebaliknya faham akan keterujaan tersebut

“Setakat ini, belum ada perancangan kami untuk mengadakan majlis mengumumkan jantina anak.

“Mula-mula memang terkejut sebab benda ni (pendedahan) memang tiada dalam perancangan. Tapi saya tak marah pun, benda baik kita kongsi sajalah,” katanya ringkas.

Ditanya mengenai persiapan menyambut ketibaan puteri sulungnya, pelantun lagu Lebih Sempurna itu berkata, ketika ini masih belum ada perancangan dilakukan mereka kerana memberikan fokus utama terhadap kesihatan isterinya.

“Jujur kami belum buat persiapan seperti membeli kelengkapan dan pakaian bayi atau yang lain-lain.

“Setiap hari Ernie melalui pelbagai pengalaman berbeza. Ada ketika dia okey, dan ada ketikanya dia tidak sihat dan jatuh sakit,” ujarnya yang turut menyatakan sudah ada nama untuk bayi perempuan mereka nanti.

Terdahulu, Syamel dan Ernie diijabkabul Mac lalu dalam sebuah majlis tertutup di Masjid Puncak Alam, Selangor.

Mereka mengikat tali pertunangan pada 16 Ogos tahun lalu selepas berkenalan dan menyertai sebuah program realiti sekitar empat tahun lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI