PUTRAJAYA – Sebanyak enam kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan tiga kluster tempat kerja serta masing-masing satu kluster pendidikan tinggi, pendidikan lain dan pusat tahanan.
Kesemua kluster tersebut dilaporkan di Kedah, Kelantan, Johor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang menjadi antara penyumbang kepada 4,543 kes jangkitan baharu hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes hari ini, 15 kes import dengan keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 2,510,852 kes.
“Daripada 4,543 kes hari ini, sebanyak 112 kes (2.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima serta 4,431 kes (97.5 peratus) lagi kategori satu dan dua.
“Terdapat 7,348 kes sembuh dengan keseluruhan kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 2,419,743 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya lagi, sebanyak 534 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 263 kes memerlukan bantuan pernafasan. -K!ONLINE