JASIN – Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Khaidhirah Abu Zahar, 37, menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim di Dewan Majlis Perbandaran Jasin Lipat Kajang di sini pagi ini.
Bekas pelakon dan pengarah drama yang lebih dikenali sebagai Dira itu terlebih dahulu dilihat tiba ke Pusat Penamaan Calon DUN Rim kira-kira pukul 8.25 pagi dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin mengenakan baju kurung warna biru hadir ke Pusat Penamaan Calon DUN Rim.
Bersama beliau memasuki Pusat Penamaan Calon DUN Rim adalah pencadang, Zulkifli Khalil dan penyokong, Jaharah Sadun.
Dira berdepan tiga calon lain iaitu B. Prasant Kumar mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Azalina Abdul Rahman mewakili Perikatan Nasional (PN).
B. Prasant Kumar tiba di Pusat Penamaan Calon pada pukul 8 pagi, manakala Azalina tiba pada pukul 8.58 pagi. – K! ONLINE