GEORGE TOWN – Penghantar makanan dan pemandu ambulans merupakan antara 62 individu yang ditahan polis dalam serbuan membabitkan masalah penyalahgunaan dadah di sekitar daerah Timur Laut di sini hari ini.
Operasi selama 15 jam berakhir pukul 3 petang tadi itu membabitkan kawasan di Sungai Nibong, Bandar Baru Air Itam, Pulau Tikus, Tanjung Tokong dan di sekitar pusat bandar raya ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, mereka yang ditahan dalam Ops Sarang itu terdiri daripada 59 lelaki dan tiga wanita berusia di antara 21 hingga 60 tahun.
“Kita menahan lapan tokan jalanan serta masing-masing 27 orang yang memiliki dadah dan penagih, manakala kebanyakan yang ditahan merupakan penagih tegar dan sudah beberapa kali ditahan polis.
“Turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah dadah dipercayai jenis heroin seberat 400 gram (g), syabu (16.68g) dan ketamin (0.67g) yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM15,770,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mustafa Kamal Gani berkata, pihaknya telah melakukan sebanyak 27 operasi melalui Ops Sarang membabitkan tangkapan 480 orang sepanjang tahun ini dalam tempoh sehingga semalam.
“Secara keseluruhan, operasi pencegahan penyalahgunaan dadah lain turut berjaya menahan seramai 6,597 orang iaitu 1,723 pembekal dadah, memiliki dadah (3,594) dan penagih tegar (1,280) dalam tempoh itu,” katanya lagi. – K! ONLINE