BARCELONA – Ketua jurulatih baharu Barcelona, Xavi dilaporkan sudah mempunyai langkah-langkah awal yang mahu dilakukan bagi menyelamatkan reputasi kelab gergasi Sepanyol itu.
Xavi, 41, dilantik secara rasmi sebagai ‘bos baharu’ The Catalans kelmarin bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronald Koeman selepas pengendali dari Belanda itu dipecat hujung bulan lalu.
Bagaimanapun, ia bukan perkara mudah kerana Barcelona terpaksa membayar €5 juta (RM24.03 juta) untuk menebus klausa dalam kontrak Xavi yang sebelum ini menggalas jawatan sebagai ketua jurulatih Al Sadd.
Meskipun ia cuma €5 juta (RM24.03 juta) tetapi Barcelona dilaporkan tidak boleh membayar nilai tersebut dalam satu jumlah penuh kerana bimbang bakal dikenakan hukuman Peraturan Kewangan Adil (FFP).
Disebabkan itu, Barcelona dikatakan berkongsi jumlah pembayaran tersebut bersama Xavi untuk menebus klausa tersebut dengan kelab juara Qatar berkenaan.
Sebagai langkah pertama, Xavi dikatakan mahu membuat rombakan besar-besaran dalam pasukan perubatan Barcelona yang dilihat gagal menjalankan tugas dengan baik buat masa ini.
Ia selepas Barcelona kini dihimpit masalah kecederaan yang menyaksikan ramai pemain utama terpaksa berehat panjang seperti Ousmane Dembele, Gerard Pique, Pedri, Sergi Roberto dan Martin Braithwaite.
Difahamkan, Xavi mahu membawa beberapa staf sokongannya ketika beliau di Al Sadd dan pada masa sama dikatakan berminat membawa masuk beberapa pemain baharu seperti Raheem Sterling pada jendela perpindahan selepas ini.
Selain itu, Xavi sebelum ini pernah menyuarakan bahawa Barcelona akan menjadi lebih mantap sekiranya berjaya mendapatkan khidmat penyerang Arsenal, Pierre Emerick-Aubameyang dan bintang sensasi Liverpool, Sadio Mane. – AGENSI