PETALING JAYA – Susulan berlaku ralat pada aplikasi MySejahtera, seorang pengguna Twitter berkongsi langkah bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Pengguna tersebut, yang juga merupakan pakar perubatan dikenali sebagai Dr. Nimlesh berkata, orang ramai yang berdepan masalah status bertukar kepada orang di bawah pengawasan (PUS) itu boleh laporkan isu berkenaan di bahagian ‘help desk’ aplikasi berkenaan.
“Ramainye status orang tukar ke PUS dalam MySejahtera secara tiba-tiba walaupun tiada gejala atau kontak rapat.
“Macam ada glitch (kesilapan). Cara nak rectify (memperbetulkan) ialah pergi ke helpdesk dan pilih option – redo health assessment (buat semula penilaian kesihatan),” katanya di sini.
Dalam pada itu, akaun rasmi Public Health Malaysia juga berkongsi langkah lain bagi menyelesaikan masalah terbabit dengan beberapa cara mudah.
“Pada yang masih jadi PUS, boleh cuba log out (daftar keluar) dan log in (daftar masuk) semula aplikasi MySejahtera. Ataupun, cuba log out kemudian padam MySejahtera dari telefon pintar dan muat turun semula aplikasi itu.
“Cara ketiga, boleh log out, pergi ke setting (tetapan), clear cache (kosongkan cache), log in semula,” katanya.
Pagi tadi, Kosmo! melaporkan MySejahtera memohon maaf atas kesilapan teknikal yang berlaku di mana terdapat pengguna diberikan status orang di bawah pengawasan (PUS) dan perintah kuarantin di rumah (HSO) secara rawak. – K! ONLINE